STPM: Terengganu Terbaik Kebangsaan Lima Tahun Berturut-Turut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT – Terengganu mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik kebangsaan untuk tempoh lima tahun berturut-turut apabila memperolehi Min Purata Nilai Gred Kumulatif 3.11 bagi peperiksaan 2023 yang diumum, hari ini

Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, Min PNGK 3.11 tersebut mengatasi peringkat kebangsaan iaitu 2.84.

“Seramai 79 calon memperolehi semua A Penuh dengan PNGK 4.0, manakala 172 calon pula mendapat semua A iaitu kombinasi A dan A-.

“Sebanyak 88.32 peratus atau 1,920 calon memperolehi Prinsipal dalam semua mata pelajaran diambil,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM peringkat Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini hari ini.

Che Wan Zuraidi berkata, 36 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas.

Jelas beliau, antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Imtiaz Kemaman, Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, SMK Bukit Payong dan SMK Kuala Besut.

“Calon SMK Nasaruddin Shah, Nurin Dayini Mazlan yang menghadapi masalah pendengaran muncul pelajar terbaik STPM 2023 bagi kategori kelianan upaya peringkat Terengganu dan kebangsaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE