Suami Isteri Ditahan Seludup 5kg Ganja Dari Thailand

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PENGKALAN HULU: Sepasang suami isteri ditahan bersama 5 kilogram (kg) daun kering disyaki ganja dalam sebuah kereta yang dipercayai cuba dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim, berkata pasangan warga tempatan berusia berusia 35 dan 34 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Bukit Berapit, Ayer Panas, di sini.

Katanya, pemeriksaan terhadap kereta Perodua Viva yang dinaiki pasangan terbabit menjumpai lima ketulan mampat yang dibalut kertas biru dan balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 5kg.

Beliau berkata, selain itu turut dirampas adalah satu paket plastik lutsinar berisi dedaun kering juga disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 7.29 gram (g) yang disorokkan di poket seluar yang dipakai oleh suspek lelaki.

“Nilai rampasan dadah itu berjumlah RM15,500 dan ia di bawa masuk ke negara ini disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang ditahan bekerja sebagai buruh turut mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, selain dia turut didapati positif dadah.

Katanya, manakala wanita yang bekerja di sebuah kilang, tiada rekod jenayah dan saringan air kencing mendapati dia bebas pengaruh dadah.

Zulkepli berkata, permohonan reman terhadap pasangan itu dibuat hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, susulan kelulusan penggunaan ganja di Thailand, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu kini meningkatkan kawalan keselamatan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah rentas sempadan.

Justeru itu, pihaknya memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan dan penyalahgunaan dadah sekitar Pengkalan Hulu kepada pihaknya atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sumber: BERITA HARIAN