GUA MUSANG – Ujian berat buat sepasang sepasang suami isteri, apabila tiga daripada empat anak mereka disahkan orang kurang upaya (OKU) terlantar dan autisme.
Dua anak mereka Muhd Aiman Shahril Mohd Fadzli,18, dan Muhd Aiman Raymi, 16, kini terlantar, manakala anak ketiga Nur Alia Iwanina, 10, pula autisme.
Mohd Fadzli Shafie, 40, berkata ketiga-tiga anak mereka terutama dua anak yang terlantar memerlukan penjagaan rapi dia dan isterinya, Azuanina Abd Rashid, 38.
“Setiap hari saya perlu menguruskan mereka untuk mandi, tukar lampin dan makan. Jadi sehari saya hanya mampu bekerja di ladang kelapa sawit selama empat jam sahaja kerana perlu balik dan membantu isteri.
“Dengan kudrat isteri memang tidak mampu untuk mengangkat keduanya malah perlu menguruskan rumah dan seorang lagi anak kecil berusia dua tahun,” katanya.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan Persatuan Cakna Kasih dan Pengurus Projek Sektor Kemiskinan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction), Muhammad Azri Abdul Jalil di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini, hari ini.
Mohd Fadzli berkata, setiap bulan dia perlu menghabiskan hampir RM200 untuk membeli lampin pakai buang anaknya yang terlantar.
“Aiman Shahril dan Aiman Raymi kini hanya terlantar memerlukan pemakaian lampin pakai buang setiap hari. Anak pertama disahkan mengalami penyakit saraf sejak umur 10 tahun, manakala anak kedua ketika berusia 8 tahun.
“Untuk ketiga-tiga anak yang sakit ini kami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,000 sebulan dan sedikit sebanyak dapat menampung pembelian lampin pakai buang dan keperluan anak-anak,” katanya yang berkerja di ladang kelapa sawit.
Mohd Fadzli berkata, selain tiga anak, anak keempat, Nur Alia Farisya dua tahun juga masih tidak boleh berjalan dengan baik dan tidak mengikut perkembangan bayi seusianya.
“Saya reda dengan ujian yang menimpa kami sekeluarga dan yakin dengan ketentuanNYA.
“Walaupun dengan pendapatan RM600 sebulan, saya yakin rezeki Allah s.w.t sangat luas dan mampu menyara kehidupan kami sekeluarga,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN