Suami Isteri Maut, Anak Parah Kemalangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BALING: Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka berusia dua tahun cedera parah selepas van jenis Nissan yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 41.02 Jalan Kulim/Baling/Grik, di sini malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Saiful Azmi Razali, 35, dan isterinya, Sailulhayati Mat Isa, 36, manakala anak mereka, Amar Rizqi Saiful Azmi, 2, terbakar pada kulit tangan sebelah kiri dan cedera di bahagian kepala.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu yang juga seorang guru dari Kupang, di sini pula mengalami luka di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata kemalangan dipercayai berlaku jam 10.15 malam tadi membabitkan dua kenderaan terbabit.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku dari arah Baling menghala ke Kulim.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, van yang dinaiki tiga sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan.

“Kejadian itu menyebabkan van itu berpusing dan pada masa sama, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki yang berada di belakang van berkenaan tidak sempat mengelak serta terlanggar di bahagian hadapan sebelah kiri.

“Akibat kemalangan itu, pemandu van terbabit dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, penumpang hadapan van itu iaitu isteri mangsa dipercayai meninggal dunia ketika sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kulim (HK).

Beliau berkata, anak lelaki pasangan itu serta dan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang mengalami kecederaan kemudian dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dan isterinya dihantar ke Unit Forensik HK untuk tujuan bedah siasat yang akan dilakukan pagi ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN