Suami Isteri Maut, Nahas Kemalangan Empat Kenderaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG: Pasangan suami isteri maut manakala tujuh yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer (km) 41.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Selawa, Merchang, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, nahas berlaku kira-kira jam 8 pagi itu membabitkan Proton Wira, Proton Satria Neo, Perodua Myvi dan Perodua Axia.

“Kereta tersebut memasuki laluan bertentangan dan melanggar tiga kenderaan lain yang sedang bergerak di laluan bertentangan,” katanya kepada pemberita, pada Jumaat.

Menurut Mohd Zain, mangsa, Rozita Mamat, 41, yang merupakan penumpang hadapan Perodua Axia berasal dari Kampung Bukit Depu di Kuala Terengganu disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu, Ahmad Arshad Mamat, 50, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merchang.

Beliau berkata, tiga lagi penumpang di dalam Perodua Axia mengalami kecederaan parah.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber: SINAR HARIAN