JAKARTA,17 Sya’ban 1442 H, Selasa : Polis mengesahkan dua pengebom berani mati yang terlibat dalam insiden letupan di luar gereja Katolik di Makassar, Sulawesi Selatan, Sabtu lalu adalah pasangan suami isteri yang baru berkahwin selama enam bulan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Polis Sulawesi Selatan, E Zulpan berkata, suspek lelaki dikenali dengan inisial L dan dipercayai merupakan anggota kumpulan militan Jamaah Ansharut Daulah (JAD).
Katanya, identiti kedua-dua suspek dikenal pasti menerusi cap jari dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), selain pengebom lelaki sempat meninggalkan nota bunuh diri kepada keluarganya dengan menyatakan dia sudah bersedia untuk mati syahid.
“L juga didakwa terlibat dalam insiden pengeboman di Jolo, Filipina pada 2019,” ujarnya.
Dalam pada itu, insiden pengeboman itu tersebut dilaporkan mengganggu program vaksinasi yang giat dijalankan di negara ini.
Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Erick Thohir berkata, insiden itu menyebabkan ketakutan dalam masyarakat untuk keluar rumah dan keadaan itu secara tidak langsung menjejaskan program vaksinasi.
“Insiden itu berlaku ketika pandemik Covid-19 belum reda dan keadaan menjadi lebih sulit sekiranya penduduk takut untuk keluar mendapatkan suntikan vaksin.
“Tolong hargai usaha pihak berkuasa kesihatan negara ini yang bertungkus-lumus menangani ancaman koronavirus. Insiden letupan itu tidak menguntungkan rakyat Indonesia, sebaliknya Covid-19 menjejaskan semua pihak,” katanya Kompas.com