‘Suami Seperti Hilang Upaya Sebelum Tenggelam’ – Isteri Mangsa Lemas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN – “Suami kelihatan tercungap-cungap dan seperti tiada tenaga untuk mengangkat anak kami,” kata Haryati Sulaiman menceritakan detik cemas sebelum suaminya tenggelam ke dasar sungai.

Suaminya, Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, ketika itu berusaha menyelamatkan anaknya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Lubuk Tapeng, Air Putih Kemaman, jam 1.45 petang semalam.

Haryati, 36, berkata sebelum kejadian, dia dan suaminya bersama dua lagi anak berusia tujuh dan 15 tahun pergi berkelah di situ, kira-kira jam 9.30 pagi.

“Suami sering membawa kami sekeluarga berkelah kerana arwah gemar memancing. Ketika kejadian, saya dan suami memancing di darat sementara tiga anak mandi tidak jauh dari kami.

“Mereka (anak) bertiga mandi di kawasan air yang cetek dan secara tiba-tiba Muhammad Zafran dibawa arus hanyut ke tengah sungai,” katanya.

Katanya, Muhammad Zafran yang hanyut dalam keadaan tenggelam timbul sempat menjerit beberapa kali nama ayahnya itu dan keadaan itu menyebabkan Mohd Mirwan bertindak terjun dan berenang untuk menyelamatkan anaknya itu.

“Dia (suami), sudah mendapatkan Muhammad Zafran namun dia seperti tiada upaya untuk mengangkat anak sebelum dia tenggelam.

“Muhammad Zafran ketika itu terus dibawa arus namun dia berjaya mengapungkan diri sebelum berjaya berpaut pada dahan pokok di situ,” katanya.

Katanya, anaknya itu terus menjerit meminta tolong dan keadaan itu didengari penduduk yang tinggal di belakang sungai terbabit sebelum berjaya menyelamatkan anaknya itu.

“Saya kemudian mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung namun usaha mencari suami gagal kerana dia sudah lama tenggelam.

“Saya sangat sedih dengan kejadian yang berlaku namun bersyukur anak saya berjaya diselamatkan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, dia sangat berharap kepada pihak berkuasa supaya dapat menjumpai suaminya dan bersedia menerima keputusan yang menyedihkan.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hafiezul Mohamad, berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung jam 8 pagi ini.

Katanya, seramai 20 anggota dari Balai Bomba Cheneh dan Chukai, 13 anggota polis, dengan bantuan anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA dan penduduk kampung terbabit dalam operasi ini.

“Kita juga mendapatkan khidmat dua anjing pengesan K9 dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur bagi membantu operasi pencarian.

“Setakat ini usaha pencarian belum berhasil dan pasukan penyelamat turut memperluaskan kawasan pencarian sekitar 500 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri lemas,” katanya.

– BERITA HARIAN