Jerantut: Bukan hanya hilang punca pendapatan, tiga beranak dari Kuala Lumpur kini terpaksa bergantung kepada keluarga di Felda Kota Gelanggi Dua di sini, selepas si suami terlantar akibat pelbagai jenis penyakit.
Wati Toshan, 33, berkata, mereka pulang ke rumah keluarga mentuanya tahun lalu selepas suaminya, Mohd Ridzuan Mohd Yassin, 44, tidak mampu bangun dan rawatan hanya diteruskan di hospital di sini.
Katanya, keriangan Aidilfitri bakal tiba juga tidak lagi dirasai kerana suaminya terlantar akibat pelbagai komplikasi termasuk kencing manis, darah tinggi, buah pinggang tahap tiga, jantung, paru-paru dan kudis di belakang badan.
Sebelum ini Mohd Ridzuan bekerja sebagai pemandu teksi selama 27 tahun di Kuala Lumpur dan mereka menetap di Sepang selepas membeli rumah di sana.
“Tetapi bayaran ansuran bulanan rumah tertangguh kerana suami kurang memandu disebabkan sakit dan kerap berulang alik ke Hospital Serdang.
“Saya pula tidak bekerja dan tidak boleh memandu. Disebabkan itu ibu mentua (Raujiah Salleh) membawa kami pulang ke sini dan membantu menjaga suami. Rawatan diteruskan di sini.
“Suami menghidap kencing manis, jantung, darah tinggi sejak dua tahun lalu dan awal tahun ini disahkan menghidap jangkitan di paru-paru dan buah pinggang pula,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, suaminya hanya mampu makan bubur dan diuruskan semuanya oleh dia dan ibu mentua dengan bantuan kerusi roda.
Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun dan mereka kini hidup secara sederhana disebabkan simpanan habis digunakan untuk rawatan suami serta tiada sumber pendapatan tetap.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Raujiah 7035754437 atau menghubunginya di talian 019-9633358.
Sumber: My Metro