Suami terpaksa ‘gantung’ tukul, gergaji sepanjang PKP

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Zunaidah Hussin bersama enam cucunya yang dijaga sementara ibu mereka bekerja untuk menyara keluarga di Kampung Belukar Berangan, Tumpat, Kelantan
FOTO:Utusan Malaysia

TUMPAT: Perit ditanggung sembilan sekeluarga di Kampung Belukar Berangan di sini sukar untuk digambarkan ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan.

Punca rezeki mereka terputus apbila Deraman Jusoh,71, sebagai ketua keluarga yang mengambil upah sebagai tukang rumah, terpaksa menggantung ‘tukul dan gergaji’ sepanjang tempoh PKP.

Isterinya, Zunaidah Hussin, 60, mengatakan anak perempuan mereka, Norzafazila,33, kini mengambil alih tugas Deraman dengan bekerja sebagai pembantu kedai nasi berlauk dengan upah RM25 sehari.

Dia yang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang pula sedaya upaya menggagahkan diri mengasuh enam anak Norzafazila berusia tiga hingga sembilan tahun sementara ibu mereka itu keluar mencari rezeki.

“Walaupun tidak seberapa, sekurang-kurangnya Norzafazila dapat menanggung saya dan suami, serta anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah dengan gaji yang diperoleh secara harian itu.

“Jika ditanya bagaimana kehidupan kami, saya boleh kata perit sangat hidup ketika zaman PKP ini. Walaupun kerajaan sudah beri kelonggaran sekarang, situasi kami masih perit kerana kerja suami sebagai tukang rumah banyak tertangguh,”katanya.

Kata Zunaidah, ketika suaminya baru hendak memulakan semula kerjaya sebagai tukang rumah, lelaki itu diuji pula dengan penyakit batuk kering yang semakin kronik, selain berdepan kesukaran mendapatkan perkakas kerana banyak kedai masih belum beroperasi.

“Saya bagaimanapun bersyukur sangat-sangat keluarga kami dapat bertaha sepanjang PKP dengan bantuan diterima pelbagai pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dermawan serta pemimpin tempatan.

“Kami berharap situasi pandemik Covid-19 akan reda dan berlalu pergi supaya golongan miskin seperti kami dapat menjalani kehidupan yang lebih baik,”katanya.

Sumber: Utusan Malaysia