Jerantut: “Seram tetapi menginsafkan. Macam bacaan talkin betul.”
Begitu reaksi penduduk apabila mendengar hebahan van bergerak Jabatan Penerangan Malaysia (JPM) untuk menyebarkan maklumat mengenai wabak Covid-19 di kawasan perumahan di bandar ini sejak dua hari lalu.
Malah, video itu dimuat naik dalam Facebook Promosi Kesihatan Jerantut dan menjadi tular sejak kelmarin apabila meminta orang ramai berwaspada dengan ancaman pandemik terbabit.
Video berdurasi satu minit 26 saat itu menunjukkan sebuah van bergerak di satu lorong di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bandar Baru dengan berlatar belakang suara bacaan talkin.
Penduduk, Mansor Mat Isa, 45 berkata pendekatan membaca ‘talkin’ memberi keinsafan mengenai bahaya ancaman pandemik Covid-19 amat dipuji.
Katanya, kaedah itu mampu mendidik orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai amalan norma baharu.
Penduduk lain, Rosli Mubin, 58, berkata dia menyifatkan bacaan talkin adalah pendekatan terbaik yang boleh menginsafkan penduduk ketika wabak Covid-19 masih belum ada tanda berpenghujung.
“Bacaan talkin itu memberi impak terutama ayat yang berbunyi ‘Wahai insan… seandainya ajal kamu sudah sampai… maka pergilah kamu menghadap Tuhan kamu tanpa iringan insan tersayang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Basharuddin Mohd Yassin berkata, sejak minggu lalu pihaknya mengedar bacaan talkin itu untuk diperdengarkan kepada orang ramai terutama di kawasan mempunyai banyak kes Covid-19.
Katanya, kawasan Jerantut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bacaan talkin Covid-19 itu mula diperdengarkan sejak dua hari lalu.
“Cara ini amat berkesan terutama di kawasan perumahan ‘hotspot’ bagi menggalakkan mereka membuat ujian saringan secara sukarela dan ahli keluarga lain duduk di rumah.
“Setakat ini, kami banyak menerima pujian daripada orang ramai atas usaha ini, tetapi tidak kurang juga mengecam terutamnya dalam media sosial,” katanya.
Sumber: My Metro