Suasana pasar lengang, masyarakat patuh sekatan pergerakan penuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Keadaan di beberapa pasar utama di negeri ini, terutama pada sebelah pagi, lengang pada hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh hari ini.

Tinjauan di beberapa pasar utama turut mendapati, pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati masih ada segelintir peniaga memakai pelitup muka di bawah dagu dengan alasan tidak selesa untuk bernafas.

Tinjauan juga mendapati, penjaja jalanan mematuhi dan akur dengan arahan apabila tidak membuka kanopi serta meja jualan.

Pada tinjauan di Pasar Segar Terkawal (PST) di Chendering, pengunjung mematuhi SOP termasuk melakukan imbasan kod QR serta mengambil suhu badan.

Pengurusan PST menyediakan dua laluan berasingan iaitu laluan masuk dan keluar selain cecair pembasmi kuman untuk kemudahan pengunjung.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri, Che Ghani Che Wan berkata, pihaknya membuka tiga PST dan dua agro bazar untuk kemudahan masyarakat mendapatkan pelbagai barangan segar.

“Tiga PST berkenaan dibuka di Chendering, Kertih di Kemaman dan di Kampung Nyiur Tujuh di Besut. Ia beroperasi setiap hari sepanjang sekata pergerakan penuh berkuat kuasa hingga 14 Jun ini,” katanya.

Menurut beliau, dua agro bazar menawarkan pelbagai jenis produk usahawan termasuk barangan keperluan utama iaitu di Chendering dan di Kampung Nyior Tujuh.

“Kami turut mengehadkan kemasukan pengunjung bagi membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19,” katanya.

Sumber: My Metro