Kota Bharu: Kerajaan mengambil pendekatan dengan meluluskan subsidi baja, racun serta makanan haiwan ternakan bagi menangani isu kenaikan harga bahan mentah sehingga membebankan pengguna serta menjejaskan peniaga.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, persetujuan mengenai pemberian subsidi itu dicapai selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Beliau berkata, peningkatan harga barangan terutama keperluan harian sama ada daging, ayam dan sayur-sayuran berpunca daripada penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Jangan anggap kenaikan harga barang ini hanya berlaku di Malaysia sahaja, malah di Thailand, Mesir dan Jordan turut mengalami perkara sama apabila harga barang di sana meningkat sehingga tiga kali ganda.
“Bagaimanapun, dengan adanya subsidi diberikan kerajaan dalam jangka masa terdekat ini, saya menjangkakan harga barangan mentah yang kini melambung naik akan kembali pulih semula.
“Jika tidak 100 peratus, mungkin antara 80 hingga 90 peratus sekaligus harga barangan dijual selepas ini menjadi lebih murah.
“Apabila kerajaan memberikan subsidi, kerajaan boleh jual kepada rakyat dengan harga lebih murah seperti makanan ayam dan pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memainkan peranan dengan membuat pemantauan harga serta mengawal selia pengusaha terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pajakan Dusun Tradisi Antara Pemilik-Pemilik Dusun Dengan Anjuran Kunyit Sdn Bhd Dan Pelancaran Koperasi E-Agropreneur Mikro Durian ‘KopDuye’ di Dewan Putri Sa’adong Hotel Grand Riverview, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nik Muhammad Zawawi berkata, Kelantan mempunyai 7,600 hektar kawasan durian yang sebahagian besarnya dalam kategori dusun tradisi.
Beliau berkata, melalui program pajakan atau kontrak dusun tradisi, ia dapat menjadi pemangkin ke arah mewujudkan ‘Smart Dusun’, sekali gus membantu mengurangkan tanah terbiar.
“Bagaimanapun, Jabatan Pertanian perlu terus berkhidmat sebagai pemudah cara bagi memastikan hasrat ‘Smart Dusun’ produktif dapat dicapai dan pada masa sama, produk industri asas tani berasaskan durian perlu diteroka dan digalakkan sebagai sumber tarikan agro pelancongan.
“Saya menyeru kepada pihak industri untuk melabur dalam industri ini melalui pembinaan pusat pemprosesan durian sejuk beku di Kelantan bagi merancakkan pembangunan industri durian negara,” katanya.
Sumber: My Metro