‘Sudah-sudahlah bertelagah’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
REDZUAN

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman perlu ‘duduk semeja’ bagi menyelesaikan permasalahan yang wujud sesama mereka ketika ini.

Pandangan itu disuarakan bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad yang menyifatkan ‘drama’ antara ketiga-tiga pihak terbabit perlu ditamatkan segera dan tidak dibiarkan berlarutan lebih lama.

Menurut Redzuan, imej ketiga-ketiga pihak juga akan terjejas berikutan pertelingkahan yang berlaku sehingga mampu mengundang imej negatif kepada arena bola sepak di negara ini.

“Bagi saya memang tidak sepatutnya semua pihak itu bertelagah. Kejap orang itu kata orang ini, kejap orang ini kata orang itu, jadi sampai bila pun tak selesai.

“Dulu kita pun ada masalah macam ini tapi tak bising macam ini, sekarang habis bising. Yang malu pihak-pihak yang terbabit juga kerana bertelagah secara terbuka.

“Sukan lain pun ada masalah tapi taklah bising macam ini. Bila bising satu Malaysia, ia boleh jejaskan imej FAM kerana mereka adalah badan induk bola sepak negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Kontroversi melibatkan ketiga-tiga pihak berkenaan bermula apabila Norizam lantang mempertikaikan kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pada Jumaat lalu.

Ia gara-gara laporan media yang mengaitkan kenyataan Stuart bahawa Kelantan FC bakal dikenakan pemotongan tiga mata jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal menjelaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya yang berjumlah RM187,778.92.

Bagaimanapun, Stuart menafikan ada membuat kenyataan berhubung perkara berkenaan dan mengatakan ia adalah hasil rumusan sendiri wartawan yang menemubualnya.

ARTIKEL BERKAITAN: FAM nafi kenyataan Kelantan FC berdepan pemotongan tiga mata

MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan pula menuntut penjelasan daripada Norizam berhubung dakwaannya bahawa MFL masih ‘berhutang’ pembayaran hak penyiaran dengan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dan elaun pengadil perlawanan.

Konflik itu tidak berakhir begitu sahaja apabila Norizam atau lebih terkenal dengan panggilan Zamburger terus ‘bersuara’ selepas mendapat surat rasmi MFL bagi menjelaskan kedudukannya selaku pemilik Kelantan FC dan bukannya KAFA.

Mengulas lanjut, Redzuan berharap ketiga-tiga pihak berkenaan dapat mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi mencari titik penyelesaian.

“Daripada mereka asyik menyalahkan satu sama lain, lebih baiklah mereka duduk berbincang dan panggil sekali semua pihak terlibat agar masalah ini tidak berlarutan.

“Janganlah lagi asyik salahkan satu sama lain, apatah lagi berbicara di laman media sosial. Kena ingat, ramai yang memerhatikan tingkah laku mereka,” ujarnya.

Sumber: SinarHarian