Suka Ganggu Rakan, Ibu Bawa Anak Ke Balai Polis Untuk Pengajaran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – Seorang ibu mengambil langkah drastik dengan membawa anak lelaki berusia 7 tahun ke balai polis berhampiran selepas mendapati dia mengganggu rakannya di sekolah.

Suri rumah, Aisyah Hamzah, 42, berkata, tindakan tersebut untuk memberi pengajaran sekali gus mendidik anaknya supaya tidak mengulangi kesilapan sama walaupun sudah ditegur berkali-kali.

“Saya sudah tidak tahu cara lain untuk menyedarkan dia. Sebagai ibu, saya mahu yang terbaik untuk anak saya.

“Saya rasa pengajaran inilah yang terbaik untuk dia belajar dan tidak mengulangi kesilapannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Aisyah, dia sering menasihati anak bongsu daripada dua adik-beradik itu, namun kata-katanya tidak dipedulikan walaupun Muhammad Ziqri merupakan murid cemerlang di sekolah.

Aisyah yang mengambil Muhammad Ziqri sebagai anak angkat sejak berusia lapan hari memberitahu bahawa anaknya suka mengganggu murid lain dan sering ditegur guru.

“Cikgu dia memang selalu beritahu saya yang Ziqri suka kacau murid lain, tapi tidaklah begitu teruk.

“Tetapi, hari itu sudah melampau kerana kawannya terjatuh dan dahi terkena bucu meja. Itulah sebabnya saya bawa dia ke balai polis untuk beri pengajaran,” ujarnya.

Menurutnya, pihak polis di balai itu juga memainkan peranan untuk memberikan pengajaran kepada anaknya selepas dimaklumkan perkara sebenar.

“Memang banyak kali saya beritahu Ziqri untuk jaga perangai, kalau tidak saya nak hantarnya ke balai polis.

“Sampai saja di balai, saya terus beritahu pegawai itu untuk ‘tangkap’ Ziqri dan mereka pun sama-sama membantu bagi menjayakannya,” tambahnya.

Bagaimanapun, selepas kejadian tersebut, Aisyah memaklumkan bahawa Muhammad Ziqri sudah tidak membuat perangai nakal dan mengganggu rakan-rakan sekelas lagi.

“Alhamdulillah, sekarang dia tak ganggu kawan-kawan lain. Mungkin dia ambil pengajaran dengan apa yang saya dah buat,” katanya.

Selain itu, Aisyah turut menyarankan kepada ibu bapa lain supaya sentiasa sabar dalam mendidik anak-anak terutama mereka yang terlalu aktif.

“Saya faham memang sukar untuk kita jaga anak-anak yang aktif, tetapi setiap anak itu membawa sebuah amanah dan tanggungjawab,” tambahnya ringkas.

– SINAR HARIAN