Sukan SEA: Adam Intai Kilauan Emas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ATLET jujitsu negara, Adam Akasyah optimis untuk menyambar pingat emas di Sukan SEA Hanoi yang dijadual pada 12 hingga 23 Mei ini berdasarkan pengalamannya beraksi di peringkat antarabangsa.

Atlet berusia 22 tahun yang membawa pulang pingat gangsa kategori lelaki bawah (B) – 69 kilogram (kg) pada edisi lepas turut mendapat keyakinan itu kerana persiapan yang lebih rapi pada kali ini selepas mengharungi kem latihan pusat sejak tujuh minggu lalu.

“Sasaran pasukan adalah perak tapi sasaran peribadi saya untuk menang emas. Saya dah banyak menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dan berjaya mengatasi peserta Sukan SEA yang lain, jadi meletakkan keyakinan untuk meraih emas.

“Persediaan (kali ini) baik, kami telah melakukan latihan pergerakan dan untuk diri sendiri, bertuah kerana mempunyai pakar pemakanan, Jadi insya-ALLAH saya cuba yang terbaik,” katanya ketika sidang akhbar skuad jujitsu Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Ditanya mengenai pencabar utama beliau kali ini, Adam menamakan juara bertahan dari Thailand Banpot Lertthaisong dan pemenang emas kategori B-62kg, Noah Lim dari Singapura yang kali ini menukar kategori ke B-69kg.

Sementara itu, Cassandra Poyong mahu menampilkan aksi yang lebih baik pada kali ini, selepas mengejutkan ramai pihak dengan pencapaian pingat perak kategori B-62kg wanita pada edisi 2019 apabila jujitsu dipertandingkan buat julung kali di Sukan SEA.

“Pada 2019 kami tidak menjangkakan apa-apa namun saya pulang dengan perak, jadi kali ini kami mahu menjadi lebih baik daripada 2019. Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai sinar dalam Sukan SEA, kami telah menjalani latihan untuknya,” katanya.

Selepas berjaya meraih sebutir perak dan dua gangsa pada Sukan SEA lepas, skuad jujitsu negara meletakkan sasaran dua perak dan empat gangsa pada kali ini.

Sumber: SINAR HARIAN