Sukan SEA: Terengganu Sedia Insentif Untuk Atlet Raih Pingat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu akan memberikan insentif bagi setiap pingat yang berjaya diraih oleh atlet negeri ini pada Sukan SEA 2023 Kemboja yang sedang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Shahrizal Yahaya berkata selain atlet, jurulatih serta pegawai sukan yang terlibat turut akan menerima insentif.

Beliau berkata bagi pemenang pingat emas ganjaran RM4,000 disediakan, manakala pingat perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

“Seramai 44 atlet Terengganu terpilih mewakili negara pada Sukan SEA kali ini dalam 16 acara sukan termasuk hoki, basikal, e-sport dan karate.

“Setakat ini seorang atlet karate kita, Siti Nur Azwani Nor Azli telah memenangi pingat gangsa di temasya sukan berkenaan,” katanya pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri MSNT di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Pada majlis itu Wan Sukairi turut menyampaikan insentif Skim Wakil Negara (SWARA) berjumlah RM52,000 kepada 52 penerima termasuk atlet, jurulatih dan pegawai yang mewakili negara ke temasya dwitahunan itu.

Wan Sukairi berkata kerajaan negeri sentiasa menyediakan insentif kepada penggiat sukan sebagai galakan untuk memajukan lagi sektor sukan negara.

Menurutnya ia juga selaras dengan sasaran Terengganu untuk terus menjadi kuasa besar sukan negara yang dihormati dan disegani.

– BERNAMA