Sukarelawan Jengka berkampung bantu mangsa banjir Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Prihatin dengan nasib dan kesusahan yang menimpa mangsa banjir di pantai timur, Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan 21 AD Jengka Pahang dengan kerjasama Anak Wayang Studio, Black Marea Racing dan Seri Pagi Maju Jaya menghulurkan bantuan dalam Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir di sekitar Pahang.

Misi itu yang turut membabitkan kira-kira 40 sukarelawan terdiri daripada golongan belia, membantu mangsa banjir dengan membersihkan kawasan serta menyediakan makanan.

Pengerusi Persatuan Rekreasi Dan Kebudayaan 21 AD Jengka Pahang, Shahrul Efendi berkata, misi kali ini bertumpu di Temerloh, Maran Jengka, Chenor dan Pekan serta beberapa kawasan lain di daerah itu yang berdepan bercana banjir.

“Tujuan kami kali ini adalah membantu mangsa banjir yang mana saya bersama sukarelawan yang lain anggap ia sebagai jihad kerana dapat menolong mangsa banjir dengan tenaga.

“Kita prihatin dengan nasib penduduk yang menghadapi kesukaran membersihkan rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur tebal dan sebanyak 10 penyembur air berkuasa tinggi digunakan untuk kerja-kerja pembersihan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain membantu penduduk membersihkan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir, bantuan makanan dan bekalan air bersih turut diagihkan.

Operasi bantuan itu berlangsung selama dua hari melibatkan 10 kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van.

Maran dan Lipis antara daerah yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda Pahang.Kerja-kerja pembersihan masih dijalankan di beberapa daerah di negeri itu selepas banjir dilaporkan pulih sepenuhnya baru-baru ini.

Sumber: Astro Awani