KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan harapan supaya proses pemberian vaksin di negeri ini dipercepatkan bagi membolehkan imuniti kelompok dicapai, sekali gus kehidupan rakyat kembali seperti biasa.
Baginda juga menzahirkan perasaan gembira melihat rakyat Kelantan sudah ramai mendaftar untuk menerima vaksin.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar, berkata dalam masa sama baginda memahami kekangan dihadapi rakyat apabila ada yang terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan tarikh janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.
“Keprihatinan baginda sekali lagi diterjemahkan melalui titah baginda supaya Istana Balai Besar terus dibuka kepada rakyat sebagai tempat untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif baginda dalam membantu menyediakan kemudahan yang selesa kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta rakyat untuk menerima vaksin.
“Sehingga hari ini seramai 3,386 orang menerima suntikan vaksin dan 1,800 orang lagi akan menerima vaksin bermula hari ini sehingga 19 Ogos. Jumlah kumulatif seramai 5,186 orang menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Sultan Kelantan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pihak urus setia program pemberian vaksin COVID-19 anjuran Pejabat Sultan Kelantan ingin menegaskan bahawa penerima vaksin yang terpilih adalah mereka yang mendaftar melalui pihak Pejabat Sultan Kelantan serta yang melepasi saringan KKM.
Katanya, pendaftaran secara ‘walk in’ tidak akan diterima bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dan berlakunya kesesakan
“Sultan Kelantan dan Tengku Mahkota Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga untuk memastikan Malaysia, khususnya Kelantan bebas daripada penularan COVID-19.
“Baginda turut berdoa supaya barisan hadapan yang sedang berjuang serta tidak mengenal erti penat lelah berkhidmat untuk masyarakat diberikan kekuatan oleh Allah SWT bagi meneruskan perjuangan ini.
“Sama-samalah kita memainkan peranan bagi membantu pihak kerajaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan COVID-19 dapat dihapuskan secepat mungkin,” katanya.
Pada masa yang sama, Sultan Kelantan dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan mengurniakan sumbangan kepada rakyat khususnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Kurniaan itu disampaikan oleh saya selaku Pengelola Istana Diraja Kelantan kepada semua Ketua Jajahan di Kelantan sebagai simbolik penerimaan untuk diagihkan kepada rakyat yang terpilih. Sebanyak 150 bakul akan diserahkan kepada setiap 10 jajahan termasuk 100 bakul untuk Jajahan Kecil Lojing.
“Baginda amat mengambil berat kesulitan dialami kebanyakan rakyat ketika pandemik COVID-19 ini.
“Baginda serta Tengku Mahkota Kelantan berharap kurniaan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan terutama mereka yang hilang sumber pendapatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian