Sultan Kelantan sumbang RM1 juta kepada asnaf terjejas PKP, SPP

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengurniakan sumbangan RM1 juta kepada golongan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan itu menggunakan peruntukkan bagi program baginda di sepanjang Ramadan lalu.

Beliau berkata, baginda berharap sumbangan itu dapat memberikan kegembiraan kepada asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan memerlukan.

“Perkara berkenaan mendapat perkenan Sultan Kelantan sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Baginda juga mengambil maklum akan susah payah rakyat jelata dalam mengharungi kehidupan ketika negeri masih lagi berdepan dengan Covid-19 dan juga pelaksanaan PKP 3.0 serta sekatan pergerakan penuh yang sudah tentu turut menjejaskan ekonomi termasuk kumpulan asnaf.

“Baginda menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan semasa pandemik Covid-19 di Kelantan walaupun jumlah kes individu dijangkiti virus itu menunjukkan penurunan sejak beberapa hari ini, namun angkanya masih lagi tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila fasiliti kesihatan dilaporkan kritikal dengan pertambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Beliau berkata, Sultan Muhammad V menyeru seluruh rakyat Kelantan untuk terus berdoa ke hadrat Ilahi supaya sentiasa dilindungi dan dijauhi wabak Covid-19.

“Baginda mengajak seluruh rakyat terus mendisiplinkan diri dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan pusat mahupunnegeri ini supaya dapat melandaikankeluk jangkitan Covid-19 dan dalam masa yang sama tidak berlaku pertambahan kluster baharu di Kelantan,” katanya.

Sumber: My Metro