Sultan Kelantan titah larangan rentas negeri kecuali kes kecemasan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan semua pihak terutama rakyat Kelantan, perantau mahupun golongan kenamaan atau selebriti supaya tidak melakukan rentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Ia susulan penularan varian Afrika Selatan B:1:351 di negeri itu yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

Pada masa sama, baginda menzahirkan kebimbangan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga mencecah lebih 400 kes sehari, sejak pertengahan April.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda sangat dukacita melihat ramai rakyat Kelantan masih mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menyeru rakyat mengambil serius perkara itu.

“Unit rawatan rapi (ICU) hampir memenuhi kapasiti dan turut menjejaskan pesakit ICU yang sedia ada sehingga terpaksa ditempatkan di wad biasa.

“Jumlah pesakit meningkat memaksa kerajaan negeri membuka hospital lapangan di Padang Perdana dan ini menunjukkan situasi kritikal di Kelantan.

“Baginda menyarankan semua peniaga supaya mengutamakan pengurusan perniagaan melalui dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Baginda turut berharap seluruh rakyat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling serta berempati dengan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19, terutama menjelang Aidilfitri minggu depan.

“Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

“Sempena minggu terakhir Ramadan, baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan Covid-19 dapat dibendung dan tindakan kolektif yang diambil oleh rakyat dapat melandaikan lengkuk jangkitan,” katanya.

Sumber: My Metro