KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Wisma Audit negeri di sini, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu.
Berangkat sama Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) memainkan peranan penting dalam pentadbiran sektor awam dengan memastikan akauntabiliti dan pengurusan kewangan kerajaan teratur, selaras dengan undang-undang dan peraturan sedia ada.
Beliau berkata ia bagi membantu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan pengurusan kewangan kerajaan, melalui khidmat nasihat dan pandangan membina yang diberikan hasil daripada pengauditan yang dilaksanakan.
“Dengan berdiri megahnya bangunan Wisma Audit ini, ianya merupakan satu perkembangan penting dalam memperkasakan peranan audit dalam tatakelola dan pengurusan kewangan kerajaan dan agensinya,” katanya.