KUALA TERENGGANU – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan melancarkan Buku Sejarah dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Primula Beach Hotel.
Buku ini merupakan himpunan sejarah perkembangan badan legislatif negeri Terengganu sejak pertama kali diwujudkan secara rasmi pada tahun 1959 iaitu sebaik selesai Pilihanraya DUN kali pertama.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata buku ini sangat besar nilainya baik dari segi sejarah, mahupun nilai estetikanya bagi negeri Terengganu.
“Ia adalah buku kedua yang diterbitkan oleh DUN setelah buku pertama yang bertajuk ‘Pemantapan DUN – Perkembangan Dan Masa Depan’ dilancarkan kira-kira dua tahun yang lalu.”
Tambah beliau lagi, “Kandungan buku ini juga turut memuatkan antara lain sejarah perkhidmatan Yang DiPertua (YDP) dan Setiausaha Dewan selain daripada gambar-gambar bersejarah sidang DUN, sejarah perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis Mesyurat Kerajaan Negeri (MMKN) dan sejarah perkhidmatan semua ADUN dari sidang DUN kali pertama hingga keempat belas.”
“Usaha bagi mengumpulkan bahan untuk menerbitkan buku bersejarah ini sudah tentu tidak mudah dan memakan masa lebih dari satu tahun untuk mengumpulkannya kerana ia melibatkan sejarah yang lama.”
Turut hadir pada majlis perlancaran tersebut, Menteri Besar Terengganu,Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM