Sultan Muhammad V titah rakyat Kelantan terima vaksinasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, mahu rakyat Kelantan yang belum divaksinasi supaya mendaftar untuk menerima vaksin atau mendapatkan vaksin secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri itu.

Setiausaha Sulit Kanan baginda, Datuk Nik Mohd Sharifman Nik Hassan, berkata Sultan Muhammad bertitah, ia supaya Kelantan berjaya mencapai imuniti kelompok atau kadar vaksinasi 80 peratus pada 30 September 2021 seperti yang dirancang.

“Baginda berasa amat berdukacita melihat negeri Kelantan antara negeri yang mempunyai peratusan penerima vaksin yang terendah sebanyak 50 peratus.

“Baginda mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin dan baginda benar-benar berharap agar rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Nik Mohd Sharifman berkata, baginda juga bertitah bahawa mengambil vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Baginda turut merujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Katanya, pada masa sama, Sultan Muhammad turut menyarankan supaya semua pihak menggembleng tenaga memperluaskan program khidmat masyarakat di seluruh Kelantan terutama di kawasan kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin keberkesanan vaksin.

“Baginda amat berharap rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik, hospital tidak lagi terbeban dan rawatan untuk pesakit-pesakit lain tidak terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini termasuk sukarelawan.

“Baginda amat menghargai jasa petugas-petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit COVID-19 sejak tahun lepas,” katanya.

Sumber: Astro Awani