KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menitahkan semua jawatankuasa masjid supaya mengambil cakna perkembangan teknologi terkini.
Baginda bertitah, jawatankuasa masjid perlu memanfaatkan peralatan komunikasi moden untuk merangka strategi dakwah dengan baik dan berkesan agar peranan memupuk nilai takwa dalam masyarakat dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Beta mengingatkan pengurusan masjid supaya berperanan seperti mana di zaman Nabi Muhammad SAW, dengan melaksanakan pelbagai kegiatan ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berjaya mengangkat martabat ummah.
“Sejarah Islam membuktikan masjid adalah tempat yang berjaya mengangkat martabat ummah dan pemangkin kepada pembinaan masyarakat berteraskan takwa,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Kubang Ikan, Chendering, sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Mizan, di sini, hari ini.
Sultan Mizan juga berkenan Masjid Kubang Ikan dinamakan sebagai Masjid Tengku Besar Terengganu.
Seterusnya, baginda bertitah, masjid perlu dijadikan pemacu ukhuwah Islamiah, iaitu persaudaraan Islam dan pusat ketamadunan, keilmuan serta kecemerlangan ummah.
Titah baginda, ciri masjid yang berteraskan takwa adalah masjid yang diimarahkan masyarakat sekeliling, dipenuhi nilai persaudaraan, serta dihiasi dengan kebersihan dan keceriaan.
Sultan Mizan bertitah, usaha bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program di masjid perlu diperkasakan dengan pelbagai cara agar ia sampai kepada setiap lapisan masyarakat.
“Beta amat berharap setiap program dilaksanakan haruslah mencapai matlamat ketakwaan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat agar umat Islam bersatu padu dalam meninggikan syiar Islam,” titah baginda.
– BERITA HARIAN