Sultanah Terengganu Titah Unisza Tumpu Agenda Mahasiswa Seimbang Kemajuan Digital, Sosial

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bertitah supaya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memberi tumpuan kepada agenda melahirkan generasi seimbang, khususnya dari segi kemajuan digital dan pembangunan sosial, dalam acuan dan sistem pendidikan institusi itu.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UnisZA bertitah anak muda hari ini dilihat mengalami kecanduan atau ketagihan terhadap skrin dan alam meta sehingga menyebabkan mereka tenggelam dalam dunia sendiri.

Justeru, baginda bertitah usaha membebaskan anak muda daripada penjara maya kepada merdeka jiwa, mandiri peribadi dan teguh iman perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan keruntuhan nilai.

“Kecanduan terhadap alam maya ini boleh menyebabkan keruntuhan nilai. Oleh itu, beta berharap UniSZA akan memastikan pendigitalan universiti yang dilaksanakan seiring dengan pembangunan sosial mahasiswa,” titah baginda pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sultanah Nur Zahirah turut merakamkan ucapan tahniah kepada UniSZA kerana berjaya menempatkan diri dalam kelompok 1,500 Times Higher Education World University Ranking tahun ini.

Sehubungan itu, baginda menitahkan barisan lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, kakitangan akademik UniSZA agar terus memperkasa universiti itu bagi mencapai lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan.

Seramai 3,608 graduan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah bakal menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen selama empat hari, bermula hari ini.

— BERNAMA