Kota Bharu: Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II menerima sumbangan wang tunai RM4,075 untuk membeli 160 kain kafan sebagai persediaan bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19.
Sumbangan itu diserahkan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Kelantan hasil sumbangan daripada orang ramai bagi membantu pihak hospital agar dapat menguruskan jenazah dengan lebih sempurna.
Ketua AWAN, Dr Hafidzah Mustakim berkata, sumbangan berkenaan dikumpul dalam masa 10 hari untuk diserahkan kepada pihak HRPZ II.
“Setakat ini, sumbangan dilakukan kepada hospital ini memandangkan majoriti kematian kes Covid-19 di Kelantan berlaku di sini.
“Selain kain kafan, kami sebelum ini aktif menyampaikan bantuan pek makanan, pemakaian set pakaian pelindung diri (PPE) dan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.
Sumber: My Metro