Kuala Terengganu: Dalam keadaan jualan air kelapanya semakin merosot, Anisah Wahid sangat bersyukur apabila ada pihak yang menghulurkan bantuan untuk dia dan keluarganya meneruskan kelangsungan hidup.
Hari ini, peniaga berusia 49 tahun itu menjadi antara 300 penerima sumbangan daging korban sejuk beku Aman Palestin (AM), yang disampaikan di Kampung Bukit Kecil di sini.
Anisah berkata, dia menyara hidup dengan menjual air kelapa namun, perniagaannya berdepan kesukaran terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
“Nak dapat RM50 pun payah, paling banyak RM35 sehari. Kalau dapat banyak itu, memang bernasib baiklah. Biasanya RM20 sehari saja,” katanya yang tinggal bersama anak dan tiga adik-beradik.
Dia juga mengaku mereka sekeluarga pernah makan nasi berlaukkan telur goreng dan kicap sahaja ketika kesempitan wang.
“Saya bersyukur, melalui sumbangan yang diterima sehingga kini membolehkan kami bertahan. Bagi kami, cukup makan dan minum sudah memadai,” katanya.
Sementara itu, Pengurus AM Terengganu, Kamarul Azizan Abd Raman berkata, keseluruhan 600 golongan memerlukan di sini dan Kemaman menerima sumbangan daging korban sejuk beku.
“Menyedari ramai penduduk yang terjejas akibat Covid-19, mendorong Aman Palestin Malaysia menjalankan program ini ke seluruh negara, selain penduduk Islam di Palestin.
“Setiap penerima diberi 1.5 kilogram daging korban sejuk beku selain barangan keperluan asas seperti telur dan beras yang disumbangkan Fisabilillah TRG,” katanya yang memberitahu 142 lembu dan 539 kambing dikorbankan, tahun ini di Palestin yang memanfaatkan 180,330 penduduk.
Sumber: My Metro