Sumbat Tiga Ekor Lembu Curi Dalam Honda Odyssey

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BERA: Laporan mengenai sebuah Honda Odyssey dalam keadaan melintang selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan, membongkar kes curi tiga ekor lembu yang disumbatkan dalam kereta terbabit, dalam kejadian di Kampung Bukit Serdang, dekat sini awal pagi tadi.

Polis pada mulanya menerima laporan mengenai terdapat sebuah kereta dalam keadaan melintang di tengah jalan sebelum pemeriksaan lanjut menemui tiga ekor lembu disumbat dalam kereta terbabit.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkeflee Nasir, berkata pengadu lelaki berusia 50 tahun menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut, pada jam 3.20 pagi.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati sebuah motokar jenis Honda Odyssey berwarna kelabu dalam keadaan melintang di tengah jalan.

“Pemeriksaan lanjut dalam motokar berkenaan terdapat tiga ekor kerbau yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang dalam keadaan tidak bermaya kerana disyaki kesan ubat pelali,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan dan memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau pemilik yang kehilangan kerbau memaklumkan kepada pihak polis.

– BERITA HARIAN