Kota Bharu: Paras air sungai di beberapa daerah di negeri ini menghampiri paras waspada berikutan hujan di kawasan hulu sejak semalam.
Mengikut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ setakat 3 petang tadi, tiga kawasan membabitkan Sungai Kelantan di Gua Musang dan Kuala Krai serta dua daerah yang menerima limpahan air daripada Sungai Golok mengalami kenaikan melepasi paras normal.
Sungai Lebir di Gua Musang mencatatkan paras 63.24 meter (m) berbanding 62m di paras normal, manakala Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai serta Sungai Kuala Krai pula masing-masing 30.27m dan 17.52m yang beberapa meter sahaja lagi menghampiri paras waspada.
Di daerah Tanah Merah, bacaan di Sungai Jenob merekodkan 19.79m melepasi 19m paras normal, manakala Sungai Golok di Rantau Panjang pula, bacaannya 5.26m berbanding 5m paras normal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah Mohd Rafain Mat Zin berkata, berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan diramalkan berlaku secara berterusan sepanjang minggu ini.
“Hujan dijangka berlaku di kawasan pedalaman di bahagian hulu dan kemungkinan besar paras sungai di beberapa daerah di negeri ini akan semakin meningkat.
“Di kawasan Tanah Merah, limpahan Sungai Golok berlaku di beberapa kampung yang sentiasa dilanda banjir antaranya Kampung Padang Rahmat, Bukit Bunga, Lalang Pepuyu dan Panglima Bayu,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Mohd Rafain berkata, berikutan musim tengkujuh ketika ini, penduduk di lokasi yang berisiko dinasihatkan membuat persiapan bagi memudahkan proses pemindahan kelak.
Beliau juga mengingatkan kepada orang ramai yang ingin melakukan aktiviti memukat dan menangkap ikan sama ada di tali air atau mana-mana lokasi tumpuan, perlu mengenakan kelengkapan keselamatan.
Sumber: My Metro