Kota Bharu: Dua sungai di Kelantan menunjukkan bacaan paras bahaya iaitu di Sungai Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah, sejak awal pagi hari ini.
Menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat jam 9.15 pagi hari ini, dua sungai berkenaan masing-masing mencatat bacaan 23.53 meter dan 23.6 meter.
Manakala dua lagi lokasi menunjukkan paras amaran iaitu di Sungai Lebir ,Kuala Koh, Gua Musang dengan bacaan 71.85 meter dan Sungai Kelantan, Kuala Krai sebanyak 22.57 meter.
Malah, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan kenyataan amaran banjir di kampung yang berdekatan sungai terbabit supaya penduduk dapat bersedia menghadapi fenomena berkenaan.
Penduduk di sekitar Sungai Golok, Rantau Panjang, Aminah Zakari, 42, ketika dihubungi turut menyatakan kerisauan kerana biasanya penempatan mereka turut terkesan apabila sungai di Tanah Merah berada pada paras bahaya.
“Pengalaman pada tahun sebelum ini, jika sungai di sana meningkat, Sungai Golok di Rantau Panjang turut menerima tempias kerana kami difahamkan ia adalah aliran sungai yang sama.
“Selain itu, suasana juga berangin dengan kuat dan biasanya ia adalah petanda air naik dengan cepat berdasarkan pengalaman saya sebagai penduduk di tebing sungai sejak daripada kecil.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga sentiasa peka dan bersedia menghadapi bah selain mengambil langkah awal berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika melihat keadaan paras sungai semakin membahayakan,” katanya yang tinggal hanya 50 meter daripada Sungai Golok di Rantau Panjang.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, menasihatkan penduduk yang berdekatan dengan sungai untuk berjaga-jaga kerana bah dijangka melanda jika paras air terus meningkat selain berlaku taburan hujan yang tinggi.
Menurutnya, pihak JBPM sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang menjadi mangsa banjir selain menasihatkan masyarakat untuk tidak lupa akan prosedur operasi standard (SOP) walaupun berada dalam situasi bah.
Sumber: My Metro