Apabila turunnya hujan, perasaan manusia bercampur aduk kerana ada yang gembira apabila turunnya rahmat dari Allah dan ada juga yang kecewa kerana tidak dapat meneruskan pekerjaan seperti biasa dan sebagainya.
Namun, tahukah anda ada beberapa sunnah yang Nabi SAW lakukan tatkala turunnya hujan dan salah satu caranya ialah membasahkan bahagian anggota badannya dengan air hujan.
Perkara ini ada diceritakan dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang menyebut bermaksud:
“Pada suatu ketika, hujan turun dan kami (para sahabat) berada bersama Rasulullah SAW. Lalu, Baginda SAW menyelak bajunya sehinggalah hujan menimpa ke atas badan Baginda. Kemudian, kami bertanya: “Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini?”
Baginda SAW menjawab: “Kerana ia (hujan) baru sahaja turun dari tuhannya Yang Maha Tinggi.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 898)
Berdasarkan peristiwa ini, ulama ada menyebut bahawa membasahkan sedikit bahagian badan ketika turunnya hujan adalah termasuk dalam salah satu perbuatan mengikut sunnah Baginda SAW serta ia merupakan sebagai pahala sunat.
Bagaimanapun, anggota badan yang dibasahkan itu hendaklah tidak membuka aurat. Untuk mengambil pahala sunat, ia boleh membasahkan pada tangan atau muka.
Antara sebab dilakukan perkara ini adalah kerana hujan itu merupakan rahmat yang diturunkan kepada sekalian alam. Disebabkan itu, Baginda SAW mengambil berkat darinya.
Hal ini sebagaimana firman Allah yang disebutkan:
Mafhum: “Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak feadahnya.” (Surah Qaf, 50:9)
Tuntasnya, hujan itu adalah rahmat yang diturunkan oleh Allah kepada penghuninya. Disebabkan itu, kita melihat sunnah Baginda SAW yang gemar mengambil keberkatan akannya dengan mandi hujan atau membasahkan bahagian badannya.
Sumber: MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN