Suntikan vaksin di masjid mudahkan penduduk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Inisiatif suntikan vaksin COVID-19 di di Pusat Pemberian Vaksin Sementara (PPV) Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, memberi kemudahan kepada penduduk setempat, sekali gus mempercepatkan program vaksinasi di negeri ini.

Pesara guru, Wan Hassan Wan Abdullah, 60, yang tinggal di Kampung Pintu Geng di sini, berharap masyarakat terutama jemaah masjid mengambil kesempatan itu sekali gus mendaftar bagi suntikan vaksin.

“Memandangkan umur saya sudah mencecah 60 tahun, jadi saya mahu mengambil vaksin secepat mungkin bagi memudahkan untuk menunaikan solat jemaah di masjid.

“Alhamdulillah, hari ini saya sudah mengambil vaksin bagi melindungi diri daripada dijangkiti COVID-19.

“Saya mengetahui janji temu suntikan vaksin ini sejak seminggu lalu dan beberapa hari lalu dimaklumkan lokasi suntikan di PPV di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini.

“Selain saya, isteri, Seri Dewi Mohd Ibrahim, 58, juga menerima suntikan vaksin di sini, semalam,” katanya, di sini, hari ini.

Suri rumah, Kartini Mohd Nor, 60, berkata, dia tidak takut mengambil suntikan vaksin kerana mahu melindungi diri memandangkan kes COVID-19 di Kelantan masih lagi tinggi.

Katanya, namanya dipanggil untuk janji temu dan dia datang bersama anaknya, Shahilla Che Razali, 38, dari Wakaf Bharu, Tumpat ke masjid berkenaan.

“Demi suntikan vaksin, saya sanggup datang ke Kota Bharu dalam jarak kira-kira 20 kilometer dari rumah demi menyahut seruan kerajaan yang mahu semua rakyat mendapatkan vaksin.

“Alhamdulillah suntikan di PPV ini juga sangat cepat kerana semua petugas di sini sangat membantu dan menyambut kedatangan kami dengan mesra,” katanya.

Seorang pesara swasta, Anne Ooi, 60, dari Panji pula berkata, dia datang ke masjid berkenaan kerana mahu berdaftar memandangkan dirinya belum menerima tarikh janji temu walaupun sudah mendaftarkan diri di MySejahtera sejak Februari lalu.

“Saya harap akan mendapat panggilan suntikan vaksin di masjid ini.

“Insiatif suntikan vaksin di masjid ini sangat baik kerana semua bangsa boleh datang ke sini bukannya terhad kepada mereka yang beragama Islam sahaja,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, PPV sementara di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, diadakan selama lima hari bermula semalam.

Katanya, suntikan vaksin di masjid, pondok dan surau terbuka kepada semua termasuk orang bukan Islam.

Sebahagian orang ramai mendaftar untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perkarangan Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin. – Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR



SUMBER : Berita Harian