Suntikan Vaksin Untuk Remaja Akan Dilaksanakan Di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada remaja berumur 12 hingga 18 tahun di di negeri ini akan dilaksanakan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan dibuka menjelang Oktober ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, suntikan dos pertama mereka akan diberikan sebaik sahaja penyelarasan dibuat di antara ‘task force’ Pahang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang mendapat kata putus.

Katanya, setakat ini seramai 113,000 pelajar di seluruh Pahang yang berusia antara 12 hingga 18 tahun layak menerima vaksin namun keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan serta menghidapi penyakit.

Gambar hiasan

“Pelajar-pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin kerana mereka bakal menduduki peperiksaan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) manakala bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula akan mengutamakan mereka yang menghidapi penyakit dan berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan pada Program Bicara Pahang bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Jelasnya, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) telah membenarkan pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada golongan remaja berusia 12 hingga 18 tahun dan beberapa negeri seperti Sarawak dan Labuan akan memulakan suntikan dalam masa terdekat kerana jumlah penerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 mereka adalah tinggi.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 54.9 peratus daripada keseluruhan 1.175 juta golongan dewasa yang layak divaksin telah lengkap menerima suntikan mereka walaupun masih terdapat sejumlah 18 peratus yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

“JKNP kini giat melaksanakan Program Outreach Vaksinasi (POV) di seluruh negeri terutama di kawasan luar bandar bagi membantu memudahkan rakyat menerima vaksin selain mendaftarkan golongan yang tercicir menerusi MySejahtera.

“Pihak kami juga telah memulakan proses pemberian vaksin secara ‘walk in’ bagi mempercepatkan pemberian kepada orang ramai bagi mencapai sasaran 100 peratus telah divaksin menjelang 21 September depan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA