HULU SELANGOR: Seorang penjawat awam yang dikaitkan dengan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan, suspek ditangkap di Balai Polis Gedangsa, Hulu Selangor.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap polis tiba kira-kira pukul 8.53 pagi di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu dengan menaiki kenderaan polis.
Semalam, media melaporkan suspek dipercayai teman lelaki mangsa ditahan susulan penemuan mayat di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak.
Nur Farah Kartini, seorang pekerja syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan pada 10 Julai.
Hussein berkata, mangsa yang berusia 25 tahun itu dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir sebelum ini memaklumkan, laporan kehilangan Nur Farah Kartini dibuat rakan serumahnya pada 1.56 pagi, 11 Julai.
Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, kali terakhir dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slek hitam.
– AWANI