Suspek utama bakar remaja lelaki tak mengaku salah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

 CHUKAI: Seorang lelaki yang juga suspek utama kes membakar seorang remaja15 tahun sehingga melecur 22 Julai lalu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini.

Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, kelihatan menangis di kandang tertuduh selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, Shaikh Hilman Hakim yang juga penganggur didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan api ke atas Muhammad Fiqrie Adam Abdullah,15, dengan menggunakan api kira-kira jam 3 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di simpang empat Kampung Perasing Jaya, Jabor pada 22 Julai lalu.

Sehubungan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20          tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin.

Peguam memohon mahkamah supaya tertuduh dibenarkan ikat jamin kerana isterinya kini menunggu masa untuk bersalin.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan menyertakan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis mengikut tarikh yang ditetapkan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Ogos depan.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja melecur pada bahagian leher hingga ke depan dan belakang badan dipercayai disimbah minyak sebelum dibakar sekumpulan lelaki.

Tiga lagi individu berusia 18 hingga 20 tahun dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman pada khamis lalu dan semua mereka tidak mengaku salah atas tuduhan sama.

Setakat ini, mangsa yang sudah tidak bersekolah masih menerima rawatan di Unit Kebakaran Hospital Tengku Ampuan Afzan HTAA Kuantan.

 — BERITA HARIAN