Kota Tinggi: Suspek utama kes menembak isterinya menggunakan senapang angin di Taman Saujana Kota Tinggi, 1 Mac lalu, tiba di perkarangan Mahkamah Kota Tinggi, di sini, 8.30 pagi.
Suspek berusia 43 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan bergari tiba dengan kawalan ketat polis pengiring.
Dia dilihat tenang namun menutup mukanya apabila jurugambar cuba mengambil gambar.
Suspek dijangka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan selain Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Pada 5 Mac lalu, media melaporkan misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Kota Tinggi, pagi Khamis lalu.
Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun, dilaporkan menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.
Sumber: My Metro