Syabu bernilai RM1.471 juta dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas merampas syabu dianggarkan seberat 32,693 gram bernilai RM1.471 juta di sekatan jalan raya Kilometer 7 Kuala Lipis, Sabtu lalu.

Rampasan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun dalam sebuah kereta oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada 4.45 petang.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan mendapati bekalan syabu itu diperolehi di sebuah negeri di pantai Timur untuk edaran di Lembah Klang.

Menurutnya, suspek yang dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu juga didapati positif syabu menerusi saringan ujian air kencing.

“Kesemua dadah jenis syabu yang dirampas seberat 32,693 gram bernilai RM1,471,185 bersama wang tunai RM118 turut disita.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini.

Menurutnya, semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau bagi kesalahan dadah dan lima rekod jenayah.

Katanya, suspek direman sehingga 13 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: My Metro