Syamsul Yusof Dikecam, ‘Trending’ Di Twitter

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA: Pengakuan pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof mengenai pernikahannya dengan Ira Kazar menjadi antara topik terhangat yang dibincangkan ramai sehingga pasangan pengantin baharu itu sohor kini di media sosial, terutama Twitter.

Seperti mana filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahannya yang meledak dan diperkatakan umum, begitu juga pelbagai spekulasi kisah rumah tangganya yang turut mencuri tumpuan ramai sejak kebelakangan ini.

Syamsul yang membuat pengakuan bernikah di Thailand berwalikan bapa Ira, Kazar Saisi, semalam dihujani pelbagai reaksi kurang senang peminat yang turut menjadikan platform media sosial tersebut sebagai ruang meluahkan ketidakpuasan hati mereka.

Pada masa sama, sebilangan kaum lelaki pula menjadikan perkara itu sebagai ruang untuk berseloroh dengan memuat naik status yang memberi peringatan supaya masing-masing bersabar dan tenang sekiranya pasangan mereka berubah sikap.

“Elakkan sebarang situasi serba tidak kena di mata isteri buat masa sekarang. Nak buat macam mana, hari ini bakal menjadi hari yang panjang bagi kaum suami. Pandai-pandai alih topik kalau ada soalan yang tidak berkaitan menjengah,” seloroh seorang pengguna.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter dalam ciapannya mengakui, dirinya menjadi mangsa kemarahan isteri sebaik pengarah tersebut membuat pengakuan mengamalkan poligami.

Seorang pengguna wanita dalam ciapannya pula memuat naik status memaklumkan, dia tidak sanggup menonton video pengakuan pelakon filem Munafik itu, selain terdapat segelintir yang mempersoalkan sebab dan apa punca Syamsul membuat keputusan tersebut.

“Ira Kazar ini suami dia mati sebab pergi berperang ke? Adakah dia janda yang miskin?

“Atas sebab apa suami orang kena kahwin dengan dia? Boleh jelaskan wahai lelaki Malaysia?” soal seorang pengguna Twitter.

Pengarah dan pelakon itu menamatkan segala spekulasi apabila membuat pengakuan bernikah dengan Ira menerusi satu video yang dimuat naik di Intagram, semalam.

Sebelum ini, Syamsul berdepan kemelut rumah tangga berterusan selepas isterinya, Puteri Sarah Liyana mendedahkan tentang kehadiran orang ketiga yang mengganggu kebahagiaan mereka.

Syamsul dan Ira bagaimanapun, sebelum ini mengunci mulut tentang hubungan mereka dan sering mengelak apabila disoal berkenaan perkara itu.

Dalam perkongsian sama, Syamsul merayu kepada Puteri Sarah agar menghentikan tindakannya membuka cerita rumah tangga mereka kepada umum.

Sumber: UTUSAN