Kota Bharu: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengetatkan syarat import lembu hidup dari luar negara bagi mencegah penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang kini menular di beberapa negara Asia.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata selaras dengan itu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) diminta memperkemaskan kawalan di pintu masuk negara dan mengambil tindakan ke atas mana-mana lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di setiap stesen kuarantin.
Beliau berkata pihaknya juga memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan perternak lembu supaya segera menghubungi pejabat JPV di negeri atau daerah berdekatan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau kandang menunjukkan gejala LSD.
Katanya pensampelan akan dijalankan untuk tujuan pengesahan penyakit dan ternakan lembu yang dijangkiti perlu diasingkan serta dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih swasta yang dilesenkan.
“JPV juga telah mengaktifkan program pemantauan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara.
Setakat ini sebanyak 81,252 ekor ternakan lembu di 9,108 premis atau ladang tekah diperiksa dah mendapati 89 ekor atau 0.1 peratus menunjukkan gejala jangkitan LSD dan sudah dilupuskan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Che Abdullah juga memaklumkan bahawa berita yang tular berkaitan “Elakkan membeli daging segar yang dijangkiti penyakit lembu di Perak” adalah tidak benar.
Katanya, penyakit LSD tidak menjangkiti manusia dan menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata yang dikatakan akibat dijangkiti LSD adalah tidak benar.
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata walaupun LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi terhadap lembu tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada pemain industri penternakan lembu dan kerugian akibat lembu menjadi kurus, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan kepada lembu jantan.
“Setakat ini tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD dan lembu yang dijangkiti boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin,” katanya.
Sumber: My Metro