PUTRAJAYA: Syarat yang menetapkan ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama remaja untuk mendapatkan dos vaksin antara punca menyebabkan ada segelintir golongan itu tidak mendapatkan dos kedua vaksin COVID-19 seperti dijadualkan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Hanida Mohd Said, berkata peraturan itu menyebabkan ada ibu bapa yang tidak dapat membawa anak mereka mendapatkan suntikan berikutan tidak dapat bercuti atau perlu menghadiri urusan lain pada tarikh sama.
Selain itu, beliau berkata, tiada pengangkutan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga antara masalah terpaksa dihadapi terutama jika pusat itu jauh dari kediaman.
“Ada juga remaja terbabit yang menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19, lalu menghalang mereka daripada hadir untuk mendapatkan dos kedua vaksin sehingga mereka sihat.
“Masalah jadual pemberian vaksin yang diberikan sekolah tidak bersesuaian juga antara faktor menyumbang kepada remaja ini tidak dapat dibawa ibu bapa atau penjaga masing-masing untuk mendapatkan dos kedua seperti yang sepatutnya,” katanya kepada BH.
Hanida berkata, pelajar bawah seliaan PIBG sekolahnya juga ada yang berdepan masalah sama, namun ia dapat diatasi dengan keberadaan keluarga masing-masing.
“Contohnya, saya sendiri menghadapi masalah untuk hantar anak mendapatkan dos kedua pada bulan lalu, yang kebetulan pada Jumaat dan saya perlu menghadiri mesyuarat yang penting.
“Isteri saya pula tidak pandai memandu. Berikutan itu saya meminta bantuan biras untuk membawakan isteri dengan anak saya mendapatkan suntikan dos kedua.
“Bagaimanapun, jika mereka yang merantau dan tiada keluarga berdekatan, maka mereka berkemungkinan mengambil keputusan untuk tidak pergi jika ada urusan penting pada waktu yang sama,” katanya.
Justeru, Hanida mencadangkan supaya vaksin COVID-19 dapat diberikan di setiap sekolah atau di Klinik Kesihatan atau Klinik Desa bagi memudahkan remaja dan ibu bapa serta penjaga mereka.
Selain itu, beliau berkata, pemberian vaksin itu juga seharusnya dibuat pada bila-bila masa mengikut waktu dan hari bekerja klinik terbabit.
Yang Dipertua PIBG SMK Presint 8(1), Roslan Abu Hanif, berkata ketika ini kira-kira 70 peratus remaja di Putrajaya sudah memperoleh dos kedua masing-masing, terutama dalam kalangan pelajar di Tingkatan Tiga dan Lima.
Beliau berkata, ia hasil kerjasama erat antara PIBG di sekolah-sekolah di pusat pentadbiran itu dengan pengurusan sekolah termasuk pengetua dan guru besar, dalam usaha untuk memastikan 99.9 peratus daripada pelajar Tingkatan Tiga dan Lima memperoleh dos kedua menjelang tarikh 15 November kelak.
Katanya, SMK Presint 8(1) menjadi tuan rumah kepada usaha pemberian pelalian terhadap COVID-19 bagi sekolah di Putrajaya dan ia akan berjalan sehingga 15 November ini.
“Kami memberi jadual waktu yang anjal. Jika mereka tidak boleh datang pada sebelah pagi, atau pada tarikh dan masa ditetapkan, kita beri kebenaran untuk datang semula pada waktu yang sesuai.
“Setakat ini, ibu bapa di sekitar Putrajaya ini sangat akur dan mematuhi usaha ini selain mereka juga amat membantu.
“Kita juga menggalakkan pengetua dan guru besar untuk bekerjasama rapat dengan ibu bapa atau penjaga di sekolah masing-masing dan jika anak-anak atau jagaan mereka mempunyai masalah kesihatan atau masa tidak bersesuaian, mereka boleh mendapatkan pelalian pada masa lain,” katanya.
Ditanya jika ada pelajar yang terpaksa menangguhkan pengambilan dos kedua berikutan menjadi kontak rapat mahupun positif COVID-19, beliau berkata, remaja berkenaan perlu menjalani kuarantin sebelum mereka akan dibantu mendapatkan dos kedua selepas sihat atau selesai menjalani kuarantin.
Sumber: Berita Harian