Syarikat Bas Tampal Pelekat Antirasuah Layak Dapat Potongan Cukai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Syarikat bas ekspres yang menampal pelekat dengan mesej antirasuah di kenderaan mereka, layak memohon pengecualian cukai sepenuhnya di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Timbalan Pengarah Outreach, Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ab Muneim Ibrahim, berkata pengecualian 100 peratus itu diberikan kepada syarikat pengangkutan yang berkelayakan, dengan syarat yang ditetapkan.

“Pelekat antirasuah yang ditampal pada bas secara tidak langsung dapat menyebarkan maklumat dan kesedaran bukan sahaja kepada orang ramai, tetapi juga dalam kalangan pemandu dan kakitangan syarikat,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia Hari Ke-65 peringkat Konsortium E-Mutiara Berhad di Panji, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.

Pada majlis itu, seramai 85 pengurusan tertinggi, pegawai kanan dan kakitangan E-Mutiara, diketuai Che Ibrahim, melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ab Muneim berkata, syarikat juga layak mendapat potongan cukai jika menjalankan aktiviti pendidikan berkaitan integriti dan antirasuah secara bersemuka atau dalam talian, sama ada menerusi seminar, forum dan walkabout atau hebahan media.

Beliau berkata, terdapat enam kategori syarikat yang layak untuk mendapat potongan cukai iaitu yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016; Akta Pendaftaran Perniagaan (Pindaan) 2015; Akta Perkongsian 1961; Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012; Akta Koperasi 1993 dan syarikat luar negara, yang menjalankan perniagaan di Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, sektor swasta digalak mengambil bahagian melaksanakan program integriti dan antirasuah dalam usaha menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat.

Pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membolehkan syarikat mendapat potongan cukai dan kelulusan secara dasar itu diberi oleh Menteri Kewangan melalui surat Kementerian Kewangan (MoF) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 5 April 2021.

Sumber : BERITA HARIAN