Syor Pakar Atasi Banjir Di KL Pernah Ditolak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Agensi teknikal dan kejuruteraan yang bertanggungjawab isu banjir pernah mengesyorkan beberapa kolam di ibu kota diwartakan sebagai kolam takungan banjir dan mengelakkannya daripada dijadikan kawasan komersial, namun syor itu ditolak.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali.

Beliau berkata, syor dan cadangan supaya kolam takungan air itu diwartakan sebagai projek takungan air dibuat berdasarkan aspek teknikal, khususnya berkaitan kepentingan rancangan tebatan banjir di Kuala Lumpur.

Katanya, syor itu juga dibuat berdasarkan jangkaan agensi teknikal dan kejuruteraan terhadap risiko banjir yang boleh berlaku di ibu kota, khususnya disebabkan perubahan iklim dan kebimbangan berlaku hujan lebat yang menyebabkan banjir.

“Kita sudah mengesyorkan kawasan ini untuk diwartakan sebagai kolam takungan air dan bukannya dijadikan kawasan komersial.

“Ada kolam (takungan air) kita mohon untuk pewartaaan tetapi tidak dapat, sebaliknya diberikan untuk pembangunan sedangkan kita sudah maklumkan ia penting untuk melindungi kawasan berkenaan.

“Kami cuba perjelaskan tugas kami adalah untuk memberi nasihat berasaskan aspek sains dan kejuruteraan bukannya dari penilaian ekonomi dan nilai komersial tanah.

“Namun pihak jawatankuasa yang bertanggungjawab membuat keputusan yang tidak memihak kepada agensi berkaitan teknikal ketika itu,” katanya kepada BH.

Difahamkan, syor agensi teknikal dan kejuruteraan itu ditolak oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) yang dianggotai beberapa agensi.

Nor Hisham berkata, ketika itu antara ulasan diberi pihaknya termasuklah kawasan yang berada dalam dataran banjir tidak digalakkan bagi pembangunan.

“Bagi pengurusan risiko dalam jangka masa panjang, ruang kolam takungan perlu diperbesarkan lagi untuk menampung jumlah air ketika hujan lebat.

“Kami nampak senario berbeza dengan memberi nasihat berdasarkan jangkaan dari aspek kejuruteraan dan teknikal namun keputusan dibuat satu jawatankuasa yang menilai secara keseluruhannya,” katanya.

Justeru, beliau berharap sebarang komen atau syor dikemukakan aspek kejuruteraan dan teknikal tidak dipandang ringan oleh pihak berwajib.

Beliau berkata, bagi kelulusan projek pembangunan di bandar raya ini, keputusannya dibuat dengan tidak mengira sepenuhnya dalam aspek teknikal dan kejuruteraan.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mendedahkan enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur diluluskan untuk tujuan pembangunan, sekali gus mendedahkan risiko bencana banjir di ibu kota.

Hannah dalam kenyataannya berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

Laporan itu timbul susulan banjir besar yang melanda Lembah Klang, bulan lalu yang meragut 52 nyawa dan menyebabkan lebih 70,000 mangsa terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Laporan itu turut menyebut perubahan zon guna tanah dan pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di ibu kota dan kesesakan lalu lintas.

Laporan itu juga mendedahkan enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan.

Dalam laporan itu turut dimasukkan mengenai hasrat JPS supaya kolam takungan banjir dapat dirizabkan hanya untuk tujuan kolam takungan banjir dan tidak diberi milik kepada pihak ketiga.

Enam kolam yang terbabit ialah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4 ½ dan Taman Desa.

Difahamkan, sebelum ini ada 15 kolam takungan air untuk menampung air hujan bagi mengelakkan kejadian banjir, namun kini hanya tinggal sembilan.

Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang, yang menjadi lokasi Kolam Wahyu dan Kolam Delima.

Selepas lawatan itu, Azam mengarahkan DBKL untuk melantik juruukur dan jurunilai bertauliah dengan segera bagi mengukur keluasan terbaru kolam terbabit, yang sebelum ini didakwa ditebus guna untuk projek pembangunan.

Sumber: Berita Harian