MACHANG – Tiada yang lebih gembira bagi Uji, 42, daripada kesempatan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan lebih istimewa dapat memangku anak bongsunya yang berusia empat bulan.
Uji dimasukkan ke penjara pada Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki dadah dan pada ketika itu isterinya, Mah, 42, sedang sarat mengandung anak keempat dengan usia kandungan lapan bulan.
Lebih memilukan ketika isterinya melahirkan anak bongsu, dia tidak berada di sisi, namun pada hari ini bagaikan mimpi kerana anaknya itu berada di hadapan mata serta dapat memangku dan menciumnya.
“Jika diikutkan saya sepatutnya dibebaskan pada 11 Mei depan, namun menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) membolehkan saya dibebaskan lebih awal namun perlu dipantau oleh pegawai parol.
“Alhamdulillah, Syawal tahun ini saya dapat menyambutnya bersama isteri dan anak-anak selepas enam bulan terpisah daripada mereka disebabkan kesalahan yang dilakukan,” katanya ditemui di majlis pelepasan PBSL Pusat Koreksional Machang, hari ini. Majlis disempurnakan Pengarah Koreksional Machang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd Nasir Yusof.
Uji berkata, dia bersyukur dan terharu apabila dibebaskan hari ini untuk kembali ke pangkuan keluarga dan bersama-sama membuat persiapan menyambut Syawal yang masih berbaki beberapa hari lagi.
“Pada masa sama, saya juga berterima kasih kepada isteri kerana setia menanti dan berjanji selepas ini tidak akan mengulanginya lagi demi masa depan keluarga,” katanya.
Seramai 25 banduan yang menjalani hukuman penjara kurang dari tempoh setahun diberikan PBSL sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
PBSL adalah satu alternatif peluang kedua dan juga keistimewaan yang diberikan kepada banduan yang layak selepas melalui beberapa tapisan dan kriteria.
Sepanjang tahun lalu seramai 607 banduan diberikan PBSL, manakala dalam tempoh Januari hingga April tahun ini seramai 275 banduan memperoleh PBSL.
– BERITA HARIAN