‘Syukur Mayat Abang Ditemui Selepas Dia Hilang 2 Minggu’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN – “Puas kami berusaha mencari abang, tak sangka mayatnya ditemui di situ,” kata Ahmad Zulnasri Abdullah, selepas mayat abangnya ditemui dalam parit di Kampung Rajawali Pulau Serai, petang tadi.

Mayat Mohd Azizul Hafiz Abdullah, 42, ditemui dalam keadaan terbaring dalam parit oleh penduduk kira-kira jam 3 petang, selepas dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu.

Ahmad Zulnasri,40, berkata, abangnya itu yang masih bujang tinggal bersendirian dan bekerja sebagai nelayan.

“Kali terakhir saya jumpa abang di rumah ibu di Kampung Pulau Serai pada 30 Jun lalu dan ketika itu dia mengadu deman serta sakit kepala.

“Selepas itu dia tak datang ke rumah ibu dan kami berasa pelik lalu mencarinya termasuk mendapat bantuan daripada rakannya,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari abangnya dilakukan termasuk di sekitar Dungun hingga ke Paka namun menemui jalan buntu sebelum membuat laporan polis.

“Petang ini, saya dihubungi pihak polis berhubung penemuan mayat seseorang sebelum saya bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, saya sangat terkejut dan berdasarkan motosikal serta pakaian itu, dia memang abang saya,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui seorang lelaki ketika sedang mencari daun herba di situ sebelum tercium bau busuk.

“Lelaki itu terkejut apabila menemui mayat hampir reput sebelum menghubungi pihak polis.

“Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati mayat itu berpakaian lengkap dan sebuah motosikal jenis Honda Dash milik mangsa berada tidak jauh dari situ,” katanya.

Baharudin berkata, siasatan mendapati terdapat kesan brek dan kesan calar pada sebatang tiang elektrik serta kerosakan pada motosikal mangsa.

“Kita percaya mangsa terbabit kemalangan itu dipercayai akibat terbabas sebelum mayatnya tercampak ke dalam parit itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN