Kota Bharu: Pembukaan semula sektor ekonomi memberi kelegaan kepada tukang kasut apabila mampu mencari sumber rezeki demi kelangsungan hidup mereka.
Mohd Fauzi Wan Setapa, 55, yang mempunyai pengalaman membaiki kasut selama 30 tahun berkata, sejak seminggu lalu, dia menerima antara 10 hingga 15 pelanggan sehari.
Katanya, dia amat bersyukur kerana ramai yang datang untuk membaiki kasut dengan bayaran RM2 hingga RM50 mengikut kerosakan.
“Alhamdulillah, sejak beroperasi seminggu lalu, rezeki saya tidak pernah putus dan dapatlah saya bawa pulang wang untuk membeli keperluan dapur.
“Walaupun tidak banyak, rezeki ini cukup untuk keluarga. Dengan membaiki kasut orang bermula 1990-an, saya mampu menyara isteri dan enam anak,” katanya ketika ditemui di kaki lima Jalan Tok Hakim, di sini.
Mohd Fauzi yang tinggal di Kampung Tal Tujuh, Pasir Mas, berkata setiap hari dia berulang alik dengan menunggang motosikal ke bandar Kota Bharu dalam jarak 14 kilometer.
Katanya, walaupun terpaksa berulang jauh, dia bersyukur kerana rezekinya sebagai tukang kasut dan mempunyai pelanggan tetap.
“Dengan kerja ini, saya mampu membesarkan enam anak dan lima daripadanya sudah bekerja, manakala seorang lagi masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Saya sudah lengkap dua dos vaksin sekali gus mudah untuk bekerja terutama bagi bertemu pelanggan pada setiap hari,” katanya yang berniaga mulai 9.30 pagi sehingga 3.30 petang.
Sumber: My Metro