PEKAN – Rumah kayu hampir roboh di tepi sawah.
Hanya itulah tempat berteduh yang mampu disediakan seorang lelaki untuk isteri serta tujuh orang anak yang masih kecil.
Namun, kehidupan penuh sukar mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang menyediakan Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma untuk dia dan keluarganya hidup dalam keadaan lebih selesa.
Razali Abdul, 56, seorang pesawah dari Kampung Lepar Baru di sini nyata amat bersyukur dengan rezeki yang diterima dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang, wakil rakyat serta pemimpin setempat yang peka dengan nasib hidupnya.
“Saya gembira kerana isteri dan anak-anak dapat hidup selesa di rumah baru ini dan sudah pasti hidup sekarang terasa jauh lebih selesa dan persekitaran lebih selamat untuk anak-anak.
“Terima kasih kerana prihatin dengan kehidupan kami sekeluarga dan membantu di saat hidup dilalui penuh kesukaran,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini kelmarin.
Penyerahan RRP tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali. Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perumahan, Encik Azrul Bakhtiar; Penolong Pegawai Daerah, Puan Nur Shamimi Che Anuar; Pegawai Pertanian Daerah Pekan, Encik Abdul Halim Jamaluddin serta pemimpin setempat.
Sementara itu, YB Dato’ Sri Sh Puzi yang ditemui berkata, dia mahu rakyat memahami bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat dan salah satu kaedahnya ialah menyediakan keselesaan kepada mereka yang memerlukan bantuan rumah sendiri.
Menyentuh mengenai perancangan penambahan RRP untuk rakyat, beliau sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan melalui sumber datang dari hasil Kerajaan Negeri yang mencukupi.
“Saya bersyukur dengan kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, banyak usaha yang dijalankan untuk menambah hasil negeri. Bila hasil bertambah, jadi peruntukan yang lebih besar berkaitan faedah rakyat boleh disalurkan.
“Salah satunya RRP ini, di mana rumah adalah sebuah institusi keluarga yang penting.
Sumber: PAHANG MEDIA