JERANTUT – Dugaan berganda sepasang suami isteri di Kampung Paya Garuk di sini selepas rumah yang didiami rosak teruk akibat ditenggelami banjir awal tahun ini dan kini terpaksa menerima hakikat bahawa anak mereka mengalami penyakit kronik.
Lebih memilukan anak mereka Muhammad Aisy Dayyan Sapuan,11 bulan terpaksa dirawat di hospital selepas diagnosis menghidap penyakit jantung berlubang, tulang belakang bengkok yang menyebabkan sebelah ruang paru-paru sempit serta tiada beberapa tulang rusuk kanan sejak lahir.
Bagaimanapun, Sapuan Zali, 33, dan Siti Nor Farhanis Mohd Faudzi, 24, tetap tabah dengan situasi tersebut walaupun kehidupan mereka semakin terhimpit terutamanya ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Siti Nor Farhanis, Muhammad Aisy Dayyan sukar tidur kerana keadaan fizikalnya dan kerap menangis kerana menahan sakit selain mudah sensitif terhadap debu dan asap.
keadaan tersebut menyebabkan anak bongsu dari tiga beradik itu
“Setakat ini saya masih belum dapat berjumpa pakar untuk mengesahkan keadaan jantungnya dan perlu menunggu keadaan fizikalnya sesuai kerana berat anak saya kurang lima kilogram.
“Muhammad Aisy Dayyan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) bermula 8 Februari lalu kerana batuk dan muka bengkak,” katanya pada Sinar Harian, Ahad.
Jelas Siti Nor Farhanis lagi, setiap bulan beliau membawa anak bongsunya daripada tiga beradik itu berjumpa pakar di hospital.
“Kini pendapatan suami sebagai buruh kilang kayu tidak menentu dengan gaji mingguan. Jika tidak dipanggil bekerja dia tidak menerima gaji.
“Sebelum ini, suami pernah dibuang kerja kerana kerap mengambil cuti menghantar anak ke hospital dan saya pula tidak bekerja menjaga anak-anak,” katanya lagi beliau menerima bantuan bulanan, RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tambahnya, beliau berharap orang ramai mendoakan kesembuhan segera anaknya selain urusan suaminya mencari rezeki dipermudahkan.
Mereka yang ingin mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN),0699529000323443 atas nama Siti Nor Farhanis binti Faudzi.
Sumber: Sinar Harian