Tabung Amanah Dana Khas Negeri Pahang Terima Sumbangan RM52 Juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BENTONG : Sebanyak RM52 juta telah disumbangkan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan kepada Tabung Amanah Dana Khas Negeri Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan kepada Kerajaan Negeri ini menjadi satu ketetapan dalam penyediaan bajet tahunan.

“Kita sendiri telah lihat bermula pada 2019, state GLC telah menyumbang sebanyak RM12 juta kemudian pada 2020, RM32 juta dan pada hari ini state GLC menyumbang sebanyak RM52.5 juta.

“Ini semua tidak terjadi begitu sahaja. Sudah pasti anak-anak syarikat tersebut diuruskan dengan baik, dan sudah pastinya Ahli Lembaga Pengarahnya memainkan peranan yang sangat penting yang membolehkan memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan kepada Tabung Amanah Dana Khas Negeri Pahang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas merasmikan Kursus Effective Corporate Governance & Business Ethics oleh Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Pahang di sini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Beliau berkata, sumbangan yang diterima ini akan digunakan oleh Kerajaan Pahang untuk disalurkan kembali kepada rakyat di negeri ini yang memerlukan.

“Bantuan kita kepada rakyat adalah bantuan bersasar, sebagai contohnya bantuan pada COVID-19 baru-baru ini, inilah sumber yang kita gunakan,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang mempunyai sembilan buah syarikat induk GLC dan 42 anak-anak syarikat yang terlibat di dalam pelbagai aktiviti perniagaan.

“Ianya meliputi sektor-sektor seperti pengurusan aset dan hartanah, perladangan, perlombongan, pembangunan infrastruktur, pengurusan air mentah dan terawat, pengurusan utiliti, dan pendidikan, dan lan-lain lagi.

“Sepanjang saya menerajui Negeri Pahang, tujuh buah syarikat GLC dan perbadanan baru telah berjaya ditubuhkan seperti Pahang Corporation, Pengurusan Pasir Pahang Berhad, Pahang Go, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Pahang Water & Energy Resources, Pahang Mining Corporation dan yang terbaru penubuhan Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) yang telah diluluskan penubuhannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang pada 15 September 2021.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga telah merancang dan mengumumkan cadangan penubuhan beberapa agensi dan perbadanan baharu bagi sektor melibatkan hutan, Taman-Taman Negeri dan perumahan.

“Penubuhan syarikat-syarikat ini adalah satu langkah back-to-basic yang menumpukan kepada aktiviti memanfaatkan sumber terhad utama Negeri Pahang seperti pengurusan tanah, hutan, air mentah dan sumber mineral.

“Sektor-sektor ini adalah penyumbang utama hasil Kerajaan Negeri yang dilihat boleh di perkembangkan secara lebih teratur, dengan objektif untuk memaksimakan potensi hasil,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA