Apabila disebut mengenai ungkapan ‘tiada paksaan dalam beragama’, apa yang bermain di fikiran anda?
Ia adalah firman Allah yang disebutkan melalui surah Al-Baqarah, iaitu:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ
Mafhum: “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Surah Al-Baqarah, 2:256)
Ayat ini ringkas, namun membawa makna yang sangat besar dalam memahami tingginya kemuliaan agama Islam. Jika dilihat pada ideologi Islam, kebenarannya itu sangat jelas sehingga tiada paksaan untuk memeluk agama Islam.
Namun, buat mereka yang sudah memeluk Islam, menjadi tugas dan amanah anda untuk menjaga keimanan tersebut agar tidak terpesong kerana nikmat beragama itu tidak perlu dicari, bahkan ia adalah anugerah buat anda yang perlu dijaga.
Sebab Diturunkan Ayat Ini
Menurut al-Hafiz Ibnu Katsir, ayat ini diturunkan sebagai wahyu kepada Baginda SAW untuk tidak memaksa wanita Ansar memeluk agama Islam.
Ia ada diceritakan oleh al-Baghawi, yang telah diriwayatkan dari Said bin Jubair, dari ibnu Abbas RA bahawa pada satu ketika, ada seorang wanita Asar yang tidak memiliki anak.
Namun, keinginan beliau untuk memiliki anak sangatlah tinggi sehingga beliau pernah bernazar – “Jika berjaya melahirkan anak, maka ia akan dimasukkan ke dalam agama Yahudi.”
Ketika Islam datang, ada beberapa anak dari keturunan orang Ansar yang hidup bersama Yahudi. Pada waktu pengusiran Bani Nadzir, ada beberapa orang daripada kaum Ansar yang mengikuti agama Yahudi sehingga ada daripada orang Ansar yang menarik mereka agar mengikut Islam.
Namun, orang Yahudi tetap menarik dan memaksa anak-anak tersebut untuk mengikut agama mereka. Lalu, wahyu dari Allah telah diturunkan dan Nabi SAW bersabda:
قد خيّر أَصْحَابَكُمْ فَإِنِ اخْتَارُوكُمْ فَهُمْ مِنْكُمْ وإن اختاروهم، فهم منهم
Maksud: “Allah telah memberi pilihan untuk keturunan kalian, jika mereka memilih kalian, maka mereka adalah sebahagian dari kalian. Tetapi, jika mereka memilih Yahudi, maka mereka adalah sebahagian dari Yahudi.” (Ma’alim at-Tanzil, Tafsir Al-Baghawi, 1/313)
Ibnu Katsir menyebut bahawa, dalam mengajak orang kepada Islam biarlah dengan berhemah dan bukan secara paksaan.
Kebenaran tentang agama Islam itu telah terang dan nyata, maka tugas umatnya adalah menyampaikan kebenaran. Hidayah dari Allah juga amat luas untuk kita sentiasa bersangka baik denganNya.
Tiada manfaat jika seseorang melakukan apa yang tidak disukainya atau dalam keadaan terpaksa. Cukup dengan tunjukkan kebaikan dan sifat ihsan kepada mereka agar perasaan tertarik kepada Islam boleh tumbuh dengan sendirinya.
Justeru, dalil ini boleh memberikan inspirasi kepada anda agar tidak pernah berputus asa dalam jalan dakwah yang anda tempuhi. Sampaikanlah Islam dengan cara yang terbaik dan berhemah.
Rujukan:
Konsultasi Syariah
Rumaysho.com