Sejak kemasukan Islam ke Alam Melayu, karya penulisan Islam dan terjemahan ke dalam Bahasa melayu turut berkembang. Sangat banyak karya-karya Ulama alam melayu yang meliputi bahkan karya mereka ini merentas pelbagai bidang dan cabang ilmu seperti fiqah, akidah, tafsir, hadis, tasawuf. Tidak terhad kepada bidang agama sahaja, terdapat juga karya Ulama di dalam bidang astronomi, geologi, matematik , fizik dan sebagainya.
Meskipun para Ulama ini telah pergi berabad lamanya, Karya-karya mereka ini masih menjadi rujukan kerana kehebatan dan ketepatan ilmu mereka. Penulisan mereka juga turut dirujuk oleh oleh para sarjana semasa untuk tujuan ilmiah. Hal ini membuktikan kehebatan ulama terdahulu menghasilkan karya hebat sehingga menarik minat dan memberi manfaat kepada masyarakat umum.
Antara salah seorang dari ulama tersebut ialah Syeikh Muhammad Sa’id bin Omar Qadi Jitra al-Qadhi ( 1275H/1857M – 1350H/ 1932M ). Beliau merupakan salah seorang tokoh ulama yang telah menghasilkan karya dalam bidang tafsir berbahasa Melayu tulisan jawi yang berjudul Tafsir Nur al-Ihsan. Kitab Tafsir Nur al-Ihsan merupakan sebuah kitab yang mentafsir al-Quran dalam bahasa Melayu Pengarang kitab ini adalah merupakan Qadhi daerah Jitra, Kedah. Tafsir Nur al-Ihsan merupakan tafsir kedua yang ditulis didalam bahasa Melayu / Jawi selepas Turjuman al-Mustafid oleh Syaikh ‘Abdur Rauf ‘Ali al-Fanshuri.
Beliau mula menghasilkan karya tersebut pada bulan Zulhijjah, 1344 Hijrah bersamaan Januari 1925 Masihi, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibn al-Marhum Sultan Ahmad Taj al-Din Mukarram Shah (1881-1943), Sultan Kedah yang ke-25.Penulisan karya ini memakan masa selama dua tahun sembilan bulan untuk disiapkan, dan ia telah berjaya diselesaikan pada hari Rabu, satu Rabiul Akhir 1346 Hijrah bersamaan satu Oktober 1927 Masihi.
Tafsir Nur al-Ihsan mula dicetak dengan cetakan pertamanya pada tahun 1934 Masihi di Mekah oleh Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih dan cetakan kedua pada tahun 1936 Masihi di Pulau Pinang. Cetakan ketiga karya ini adalah pada tahun 1391 Hijrah bersamaan tahun 1970 Masihi oleh Percetakan al-Muarif Sdn. Bhd, Matba’ah bin Halabi di Fathani dan Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih di Bangkok, Thailand.
Sementara itu, terdapat juga cetakan yang diterbitkan oleh Dar al-Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, Mesir pada tahun 1349 Hijrah (Mohd Nazimi Zaim 2010: 68). Setiap cetakan Tafsir Nur al-Ihsan perlu terlebih dahulu mendapat keizinan daripada waris Syeikh Muhammad Sa’id dan tanda keizinan tersebut dapat dilihat di halaman pertama setiap jilid.
Tafsir Nur al-Ihsan dihasilkan oleh Syeikh Muhammad Sa’id dalam empat jilid dan setiap jilid disusun mengikut surah-surah al-Qur’an. Jilid pertama merangkumi Surah al-Fatihah hingga Surah al-Ma’idah, jilid kedua merangkumi Surah al-An‘am hingga Surah Hud, jilid ketiga merangkumi Surah al-Kahf hingga Surah al-Zumar, dan jilid keempat merangkumi Surah al-Mu’min hingga Surah al-Nas.
Sehingga kini, Kitab ini masih beredar di pasaran namun begitu hanya kedai-kedai tertentu yang menjual kitab Tafsir ini. Kitab tafsir ini juga masih digunakan sebagai teks pengajian di masjid-masjid dan surau-surau contohnya pengajian mingguan di Pondok Tuan Guru Haji Bakar Parit Panjang, Baling, Kedah dan Pondok Tuan Guru Haji Soleh Musa di Sik, Kedah.
Penulis menggunakan bahasa Melayu dialek Melayu Kedah dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran ialah. Tafsir Nur al-Ihsan merupakan sebuah karya tafsir berbahasa Melayu yang dikarang menggunakan tulisan Jawi telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam khususnya di Malaysia, di samping ia juga merupakan satu usaha murni Syeikh Muhammad Sa‘id yang telah mewariskannya kepada masyarakat sehingga ke hari ini. Kandungan karya ini adalah lengkap dan menyeluruh mencakupi penerangan seperti asbab nuzul ayat, fadilat-fadilat, permasalahan fiqah, ayat al-Mutashabihat, al-Nasikh dan al-Mansukh serta kisah-kisah umat terdahulu.
Rujukan :
- Mohd Sholeh Sheh Yusuff & Mohd Nizam Sahad, International Journal Of The Malay World And Civilisation, Bacaan Intertekstual Terhadap Tafsir Nur Al-Ihsan: Kajian Menurut Kaedah Ekserp